Selasa, 20 Oktober 2009

Siti Khadijah

Nama penuh beliau ialah Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai dari berasal dari golongan pembesar Mekah.

SITI Khadijah merupakan seorang wanita yang berasal daripada suku kaum Asadiyah, iaitu satu keturunan Quraisy yang amat dihormati dan disegani.

Beliau dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan penuh kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna.

Pendidikan dan tunjuk ajar oleh ibu bapanya diterima dengan patuh dan taat, sehingga beliau tampil sebagai seorang wanita budiman dan berakhlak luhur serta tidak pernah bangga atau sombong dengan taraf kebangsawanannya. Kaumnya memanggil beliau dengan gelaran Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci.

Sebelum berkahwin dengan Rasulullah, beliau pernah menikah dua kali, tetapi kedua-dua suaminya telah meninggal dunia. Ketika menikah dengan baginda, umur beliau ialah 40 tahun, dimana umur baginda 25 tahun.

Walaupun terpaut usia 15 tahun, tetapi rumah tangga mereka penuh dengan kedamaian dan ketenteraman, aman bahagia dan tidak pernah berselisih paham terhadap sesuatu masalah.

Beliau juga merupakan Ummul Mukmin pertama yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri, berbeda dengan isteri-isteri baginda yang lain. Beliau bukan saja wanita yang cantik jelita tetapi mempunyai harta kekayaan dan tergolong di antara orang-orang yang ternama di Mekah.

Beliau sangat pandai mengelola perniagaannya sehingga berjaya sampai ke Yaman dan Syam. Beliau pernah menyerahkan urusan perniagaannya kepada baginda karena percaya dengan kejujuran baginda. Sehingga sampai suatu ketika beliau jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutan Rasulullah, lalu menyatakan hasrat untuk menikahi baginda.

Beliau hidup bersama Rasulullah selama 24 tahun. Sepanjang menjadi isteri baginda, beliau menjadi ibu rumah tangga dan kekal menjadi satu-satunya isteri baginda sampai beliau meninggal dunia. Beliau telah melahirkan enam orang anak sedangkan isteri-isteri baginda yang kemudian tidak seorang pun yang melahirkan anak sepertinya.

Beliau juga menanggung berbagai-bagai penderitaan bersama-sama Rasulullah dalam usaha berdakwah dan menyeru kepada Islam. Ketika dua orang anak lelakinya iaitu Kasim dan Abdullah meninggal dunia, beliau bersama dengan baginda berdukacita menangisi kepergian anak-anaknya itu.

Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah untuk pergi ke Gua Hira karena ingin bertafakur dan bermunajat kepada Allah seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa sedikit bekal yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan sudah habis, baginda kembali ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh putaran, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta.

Walaupun begitu , Siti Khadijah tidak pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah. Beliau berusaha agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada Allah. Oleh karena itu, apabila Rasulullah pulang ke rumah, beliau tidak pernah mengeluh apalagi menampakkan muka yang masam. Beliau melayan suaminya dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang.

Begitulah tanggungjawab sebagai seorang isteri yang taat dan setia kepada suami sampai beliau meninggal dunia dalam usia 64 tahun dan enam bulan. Semenjak kepergian Siti Khadijah, Rasulullah sangat sedih dan murung karena begitu terasa kehilangan seorang kawan, teman, isteri, pembantu dan pembela ketika baginda menjalankan seruan Allah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar